Jumaat, 25 Mac 2011

Rahsia Jutawan Internet Terbongkar!


Dikarang oleh Eruwan Gerry pada March 25, 2011
Beberapa bulan yang lepas, saya telah dijemput oleh sahabat Usahawan Internet saya Zamri Nanyan untuk menyertai satu group usahawan internet di Facebook yang terdiri daripada beberapa orang “otai” internet Malaysia seperti Jamaluddin Bahari, Razif Yusof, Mawardee, Ammar Zahar dan Noorizam Shah.

Salah seorang “otai” internet yang juga seorang jutawan internet yang terkenal di Malaysia yang juga termasuk di dalam group tersebut adalah Irfan Khairi.

Terus terang saya katakan bahawa saya sendiri belum lagi berpeluang untuk berkenalan dengan beliau secara peribadi. Oleh itu, peluang besar untuk bersama-sama dengan beliau di dalam group elite ini amat saya hargai. Terima kasih kepada bro Zamri Nanyan kerana menjemput saya untuk menyertai group tersebut.
Di dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi dengan anda satu rahsia penting yang saya rasa tidak ramai orang tahu mengenai Jutawan Internet hebat – Irfan Khairi. Saya telah berjaya mempelajari rahsia ini dengan melihat perwatakan dan komunikasi beliau dengan usahawan-usawahan internet yang berada di dalam group ini.

Rahsia yang saya maksudkan ini adalah beliau merupakan seorang yang tidak suka sikap “procrastinate” atau berlengah-lengah untuk mengaplikasikan apa-apa ilmu baru yang telah beliau pelajari. Sebaik sahaja beliau mempelajari apa-apa ilmu baru yang boleh membantu meningkatkan kejayaan diri dan perniagaan beliau, sudah pasti beliau akan mengaplikasikannya dengan secepat mungkin.

Sifat atau sikap ini tidak dimiliki oleh sebilangan besar daripada kita. Saya sendiri mengaku yang ia merupakan salah satu daripada kelemahan diri saya sendiri iaitu suka “procrastinate” dalam melakukan apa-apa projek terkini saya.

Saya merasakan sikap inilah yang membezakan diri beliau daripada sebilangan besar rakyat Malaysia yang lain. Oleh kerana sikap inilah juga yang telah membolehkan beliau mencapai tahap “jutawan” dalam masa yang sebegitu singkap dan dalam umur yang sebegitu muda sebelum ini.

Salah satu contoh sikap beliau yang suka mengaplikasikan ilmu baru adalah apabila beliau belum pernah lagi melakukan teleseminar secara online, telah meminta pandangan dan maklumat untuk menganjurkan teleseminar beliau sendiri secara online daripada rakan-rakan usahawan internet lain yang berada di dalam group elite kami ini. Sebaik sahaja mendapat pandangan dan maklumat daripada sahabat lain, dalam masa lebih kurang 10 hari selepas itu, beliau terus menganjurkan teleseminar online beliau yang pertama walaupun belum pernah lagi melakukannya sebelum ini.

Apa yang lebih menarik, teleseminar online beliau yang pertama ini telah menarik minat yang besar sehingga dihadiri oleh melebihi 1,000 orang. Ia juga telah menjadi pendorong kepada beliau untuk melakukan lebih banyak teleseminar lain selepas itu untuk memajukan perniagaan beliau.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa tip yang boleh membantu anda untuk mengikiskan sikap suka berlengah-lengah di dalam diri anda:

1. Tetapkan masa untuk bermula sebaik sahaja mempelajari sesuatu ilmu baru. Sebaik-baiknya dalam masa 1 sehingga 2 minggu selepas kita mempelajarinya.

2. Tulis di atas kertas tarikh dan masa kita ingin melakukannya dan letakkannya di satu tempat yang mudah untuk kita lihat.

3. Apabila tiba tarikh dan masa yang telah kita tetapkan, terus lakukannya dan jangan berikan sebarang alasan kepada diri anda untuk tidak memulakannya pada masa tersebut.

4. Setelah mengaplikasikan ilmu yang telah anda pelajari, lakukan muhasabah diri dan lihat sejauh mana keberkesanan usaha yang telah anda lakukan.

5. Rancang strategi untuk memperbaiki usaha anda dan tetapkan semula tarikh dan masa untuk meningkatkan usaha anda itu.

6. Ulang semula tip-tip di atas daripada awal untuk lebih meningkatkan kejayaan usaha anda secara berperingkat-peringkat.

Saya yakin jika anda mampu untuk melakukan tip-tip seperti yang telah saya cadangkan di atas, sudah pasti anda akan dapat membuang sikap suka melengah-lengah secara beransur-ansur.

Pendek kata, jika kita mahu menjadi seseorang yang berjaya di dalam apa jua bidang yang kita ceburi, lebih-lebih lagi mengenai perniagaan internet, kita perlu terus mengaplikasikan apa jua ilmu baik yang telah kita pelajari. Berkat usaha dan kesabaran kita di dalam melakukannya, kita juga akan menjadi seorang yang berjaya seperti Jutawan Internet – Irfan Khairi.