Jumaat, 25 Mac 2011

Produk Sampah

Saya baru saja selesai membaca salah satu hasil penulisan Jutawan Internet Malaysia iaitu Patric Chan di blog beliau mengenai trend terkini di pasaran antarabangsa yang mana semakin ramai usahawan internet yang mempromosikan produk-produk yang cuba mengabur mata para pengunjung dengan mendakwa bahawa produk atau perisian mereka itu boleh membantu pembeli menjana wang atau trafik dengan pantas.

Sebenarnya, saya tidak hairan berlakunya perkara tersebut kerana semenjak akhir-akhir ini, saya sendiri sering mendapat pelbagai promosi daripada pasaran antarabangsa mengenai produk-produk yang mendakwa boleh membantu kita menghasilkan wang dengan pantas.
Malah ada pemilik produk yang berani mendakwa bahawa kita hanya perlu melakukan 3 langkah sahaja untuk terus menjana wang melalui internet!

Wah! Kalau macam itulah caranya untuk menjana wang melalui internet, saya rasa pasti ada ribuan orang yang sudah menjadi jutawan, atau sekurang kurangnya ribu-wan.

Malangnya keadaan seperti ini sudah pasti tidak akan terjadi. Cuma pemilik produk yang melancarkan produk tersebut saja yang akan menjadi jutawan hasil daripada teknik pemasaran “tersembunyi” yang mereka lakukan.

Mereka cuba menyembunyikan fungsi sebenar perisian yang mereka hasilkan dan cuba untuk mengaburkan mata pengunjung dengan memberikan pelbagai “screenshot” yang menunjukkan mereka telah berjaya menghasilkan wang yang banyak atau mendapat trafik yang banyak dengan hanya menggunakan perisian hebat mereka.

Boleh jadi, perisian tersebut langsung tidak boleh melakukan perkara tersebut tetapi ianya sekadar satu perisian biasa yang sebenarnya sama seperti perisian yang telah dihasilkan oleh orang lain. Cuma disebabkan “bungkusan” produk tersebut saja yang hebat, maka kita akan tertarik untuk mendapatkan produk tersebut.

Cara pemasaran yang digunakan oleh usahawan-usahawan ini tidak beretika dan cuma akan menghancurkan kredibiliti mereka dalam jangkamasa panjang. Kita mungkin boleh menjana wang untuk sekali itu saja daripada pembeli kita tetapi kita akan kehilangan pembeli setia kita untuk jangkamasa panjang kerana pembeli tersebut sudah tidak mempercayai kita lagi.

Cara pemasaran kita perlulah beretika dan berterus terang. Jika produk kita boleh melakukan “A” maka ianya perlu dijelaskan sebagai boleh melakukan “A”. Tidak perlu terlalu berbunga-bunga di dalam menjelaskan fungsi lain yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan fungsi sebenar produk atau perisian tersebut.

Saya sebenarnya tidak mahu keadaan yang berlaku di luar negara, berlaku di dalam arena perniagaan internet di Malaysia. Kita sebenarnya perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mengetengahkan perniagaan internet sebagai salah satu sumber kewangan dan pendapatan untuk rakyat Malaysia. Jika terdapat usahawan Malaysia yang turut menyertai cara promosi tidak beretika ini, maka ianya akan memberikan gambaran yang buruk kepada usahawan internet lain yang turut menyumbang di dalam perkembangan internet di Malaysia.

Jika anda merupakan seorang penjual produk, pastikan yang anda bertanya kepada diri anda sendiri persoalan-persoalan berikut sebelum menjual atau mempromosikan sesuatu produk:

Adakah surat jualan saya memberikan maklumat yang jelas tentang produk saya?

Adakah boleh terjadi salah faham oleh pengunjung tentang fungsi sebenar produk saya?

Adakah surat jualan saya terlalu berbunga-bunga sehingga pembaca boleh terpesong pemahaman mereka tentang produk saya?

Adakah saya dengan ikhlas dan jujur telah berkongsi maklumat yang sewajarnya mengenai produk saya?

Tanya diri anda soalan-soalan tersebut sebelum anda mula memasarkan apa-apa produk baru anda. Jika anda boleh berbuat demikian, maka saya yakin anda akan lebih senang dan tenang di dalam mempromosikan produk anda nanti dan seterusnya boleh mengurangkan kadar refund untuk penjualannya.

Seorang usahawan internet yang hebat adalah seorang usahawan internet yang jujur dan mahu membantu orang lain untuk berjaya. Bukannya hanya mengejar wang Ringgit sahaja.

Saya tahu andalah usahawan hebat itu.

Salam hormat & salam kejayaan!