Jumaat, 25 Februari 2011

Mail Oder

Pada awal penglibatan di dalam bisnes internet, tidak terlintas di fikiran saya untuk mengenali perniagaan Mail Order.

Memang saya akui bahawa ramai juga di antara usahawan Mail Order (tempatan atau luar negara) mengaut keuntungan yang banyak daripada bisnes ini. Tetapi saya tidak ambil kisah sangat kerana saya fikir kedua-dua model perniagaan ini agak berbeza.

Yang satu menggunakan internet untuk memasar dan menghantar produk (bisnes digital).

Yang satu lagi menggunakan kaedah konvensional untuk memasar dan menghantar produk (mail order).

Namun, selepas diteliti dengan lebih mendalam, saya dapati ramai usahawan internet yang berjaya mempunyai latar belakang perniagaan yang berasaskan mail order. Ya, memang ramai juga usahawan internet yang tidak mempunyai latar belakang bisnes berjaya dengan usaha mereka tetapi bagi yang mempunyai latar belakang bisnes direct response sebegini, kejayaan datang kepada mereka dengan lebih pantas.

Ini disebabkan mereka lebih memahami bagaimana model perniagaan direct response berfungsi.

Jadi, tidak hairanlah usahawan seperti Dan Kennedy dapat menghasilkan ribuan dollar setiap hari dengan mengaplikasikan apa yang telah beliau ketahui di dalam bisnes mail order beliau di internet.

Mungkin Dan Kennedy tidak dikenali ramai di rantau ini (kecuali mereka yang menjalankan perniagaan mail order) tetapi Halim Hazlin dan Mohd Nizam boleh dijadikan contoh usahawan mail order yang telah berjaya.

Tetapi yang lebih menarik di sini ialah anda mungkin mengenali mereka selepas terjumpa beberapa laman web yang mempromosikan produk yang ditawarkan oleh Halim atau Nizam dan mereka menawarkan pakej yang akan dihantar terus ke alamat rumah anda.

Jadi, tidakkah ini merupakan satu lagi cabang mail order?

Bagi pendapat saya, model bisnes sebegini boleh menjadi lebih efektif daripada model perniagaan digital yang konvensional (beroperasi sepenuhnya di internet). Ini disebabkan produk fizikal yang dijual di internet, terutamanya produk informasi, dilihat sebagai mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding produk digital.

Jika tidak percaya, biar saya gambarkan kepada anda.

Produk video rakaman sebuah seminar perniagaan internet di jual di internet pada harga USD$97 dan video ini boleh ditonton secara langsung melalui internet. Pada masa yang sama, produk ini juga ada disediakan di dalam bentuk DVD yang mana ianya dijual pada harga USD$197. Mungkin terdapat 12 DVD di dalam pakej ini dan ke semuanya akan dihantar kepada anda jika anda membuat pesanan melalui internet.

Percaya atau tidak bahawa kedua-dua produk tersebut mempunyai kandungan yang sama. Cuma pakejnya sahaja berlainan. Kos untuk mengeluarkan produk DVD ini pun tidaklah semahal yang anda sangkakan tetapi anda akan rasakan yang produk fizikal lebih bermakna kepada anda kerana anda sudah biasa menilai produk fizikal sebelum ini.

Disebabkan produk fizikal terpaksa melalui beberapa proses lain seperti salinan DVD dan pembungkusan, maka harga yang ditawarkan pun meningkat. Namun, anda perlu ingat bahawa proses salinan dan pembungkusan juga merupakan proses yang boleh diseragamkan. Maksudnya, apabila sistem salinan dan pembungkusan DVD ini telah disempurnakan dengan baik, maka ianya tidak menjadi masalah untuk mengeluar dan menghantar produk fizikal seperti DVD.

Inilah yang dikatakan sistem di dalam bisnes.

Akhir sekali, saya ingin nyatakan bahawa produk digital masih lagi mempunyai pasaran yang besar tetapi, pada masa yang sama, jangan abaikan produk fizikal. Belajar bagaimana perniagaan mail order boleh membantu anda di dalam perniagaan internet yang anda jalankan.

Mengenai Penulis

Zamri Nanyan mula berkecimpung di dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Beliau berasa puas sekiranya dapat membantu lebih ramai orang membongkar rahsia menjana pendapatan melalui Internet. Lawati laman web beliau di http://www1.BisnesDigital.com untuk mengenali Zamri Nanyan dengan lebih dekat.

Popularity: 6% [?]